Kucing kucinta

WARNING: Ayat dan bahasa berkemungkinan kasar tapi pastinya tiada carutan.

Seperti biasa pada waktu cuti, Afams akan mengambil kesempatan untuk brisk walk di kawasan rumah barunya. Memandangkan member Afams yg tinggal berdekatan di situ tengah bercuti dan balik kampung, beliau berpesan kepada Afams untuk tengokkan anak-anak bulu dia yang bernama Momoi dan Chomel. Afams mengambil peluang ini untuk berbrisk walk di sana juga.

Member Afams adalah seorang pencinta kucing. Sayangnya terhadap kucing sangat tinggi. Beliau turut sediakan makanan di luar rumahnya untuk kucing-kucing gelendangan yang bertandang dan berehat di situ. Sekali-sekala wet food diberikan kepada kucing-kucing tersebut.

Jadi seperti biasa, Afams bukan sahaja tengok-tengokkan Momoi dan Chomel, malah Afams turut membantu dalam proses refill dry food untuk kucing-kucing gelendangan yang bertandang dan akan bertandang ke rumah member Afams. Antara kucing yang sentiasa bertandang di situ ialah Gebu dan Makyong. Ada Afams menyimpan niat untuk mengambil Gebu nanti.

Afams perasan, dia tidak nampak kelibat mahupun bayang Gebu dan Makyong semenjak dia mulakan tugasan tersebut. Dan paling ketara ialah makanan yg tersedia di luar rumah seolah tidak diusik. Walaupun sedikit risau, Afams menganggap bahawa Gebu dan Makyong mungkin menghabiskan masa mereka di rumah orang lain yang juga pencinta kucing. Afams pasti, mesti ada pencinta kucing di luar sana yang sanggup jagakan mereka. Tambahan pula Gebu dan Makyong adalah kucing gelendangan yang sangat berdikari. Pastinya mereka tahu rumah kawan Afams tiada orang dan maka sebab itulah mereka pergi ke rumah pencinta kucing yang lain.

Cuma pada suatu pagi, satu insiden telah berlaku dan menyebabkan Afams berfikir panjang. Kejadian tersebut berlaku ketika dia berjalan pulang setelah tengok-tengokkan Momoi dan Chomel pagi itu. Kebetulan dia mengambil route yang lain dengan berjalan di bahagian belakang rumah. Kawasan bahagian belakang rumah di kawasan perumahan di situ telah direkabentuk dan dihias khas sebagai tempat untuk beriadah. Ianya dihiasi dengan taman yang cantik dan hijau khas untuk penduduk bermain, bersenam dan berjalan-jalan. Di situ jugalah member Afams membawa anak-anak bulunya beriadah setiap petang.

Afams berjalan sambil berfikir makanan apakah yang dia harus beli untuk sarapan pagi. Kakinya melangkah cepat kerana tidak sabar untuk makan dan pulang ke rumah. Dia lega bila dia sudah menghampiri penghujung taman di mana terletaknya kolam renang dan juga pejabat pengurusan perumahan situ. Tiba-tiba, sedang dia mempercepatkan langkah, dia terdengar suara seekor kucing. Afams mencari-cari arah suara kucing itu. Sedang dia mencari-cari, datang seorang makcik. Pada ketika itulah Afams perasan di mana datangnya suara kucing itu tadi.

Seekor kucing Siam sedang mengeow kesedihan kerana terkurung di dalam sangkar. Afams terkedu seketika. Kucing inilah yang dia nampak di dalam bilik pengawal keselamatan perumahan tersebut semalam. Kucing itu memakai kolar biru dan ia kelihatan sangat jinak. Kata pengawal semalam bahawa kucing itu sangat manja.

Makcik tadi menghampiri Afams yang sedang duduk melutut melihat kucing yang ada di dalam sangkar. Afams menoleh lalu bangun berdiri.

"Saya nampak kucing ni semalam dalam bilik guard" Afams memulakan bicara tanpa salam lisan dan salam fizikal.

"Kami tangkap dia. Dah lama berkeliaran kat sini. Harini kami nak call MPPP untuk ambil kucing ni" kata makcik itu.

Tahulah Afams bahawa makcik itu adalah salah seorang staf pengurusan perumahan di situ bila makcik itu membahasakan dirinya kami.

"Tapi kak, dia kan bertuan. Tu nampak tak dia pakai kolar. Kucing siam ni. Mesti ada orang bela"

"Kalau bela kenapa biaq dia berkeliaran kat sini? Mana tuan dia? Mana tanggungjawab tuan dia dok biaq dia? Kami kena jaga maintenance kat sini. Orang komplen pasal kucing-kucing yang dok berkeliaran di sini."

Afams diam. Emo pula makcik ni.

"Depa kata kami tak pandai nak handle kes kucing ni. Jadi nak mudah, kami buat polisi iaitu sesiapa dapat tangkap binatang yang berkeliaran kat kawasan perumahan sini, kami akan bagi reward RM300 untuk depa. Bagi kat kami dan kami akan bagi kat MPPP".

"Tapi takkan kak nak pi hantaq kucing ni kat MPPP? Kot tuan dia balik kampung dan kucing ni somehow terlepas kluaq"

"Orang-orang kat sini bising. Depa komplen. Faham la orang yang dok sini orang-orang kaya. Depa tak suka kucing dok berak merata. Jadi, kami kena tangkap dan bagi kat MPPP. Kucing ni kucing yang ke-enam kami tangkap."

Afams sentap sekejap. Satu emosi mula timbul. Afams cuba memahami keadaan. Apa yang makcik itu kata sememangnya penyelesaian pihak pengurusan perumahan di sana mengenai isu aduan penduduk di situ.

Tapi mengapa gamaknya mereka sanggup tangkap kucing yang bertuan?

Bukankah tuan kucing itu berkemungkinan penduduk di situ juga? Bagaimana hak dia?

Adakah kerana hendak menunjukkan bahawa pengurusan di situ memandang serius tentang hal binatang berkeliaran sehingga sanggup menangkap kucing yang bertuan yang berkeliaran di situ?

Adakah dengan menyimpan dan menjaga sementara haiwan peliharaan yang dijumpai berkeliaran  itu satu bebanan dan menyusahkan seperti memberi makanan, membuat notis dan sebagainya?

Tidakkah mereka fikir yang sebenarnya haiwan peliharaan tersebut mungkin berjaya melolos keluar walaupun sudah dijaga dan diletakkan di dalam rumah?

Tidakkah mereka fikir perasan tuan kepada binatang peliharaan jika mereka tahu haiwan mereka telah ditangkap dan dihantar kepada MPPP?

Tahukah mereka apa tindakan MPPP terhadap binatang-binatang yang mereka bagi itu?

Di mana perasaan kasih sayang terhadap binatang?

Arghhh kusut. Afams kusut memikirkan soalan-soalan tadi.

"Macam ni lah kak. Jangan bagi kat MPPP. Bagi kat saya. Saya jaga dia sementara. Dalam masa yang sama saya war-warkan kot-kot tuan dia sedaq yang kucing dia terlepaih. Tapi kak kena tunggu sat. Saya kena pi amik keta dan carrier sebab saya tak dok sini. Saya jogging masuk kawasan sini. Saya dok apartment yang sebelah temple siam tu."

Makcik itu mengangguk. Nampaknya dia bersetuju dengan cadangan Afams.

"Tapi kena mai sebelun pukul satu na. Office hour sampai pukul satu ja. Ka nak guard pi hantaq dia kat rumah?."

"Takpa kak. Saya pi amik keta saya. Kak kena tunggu sat ja. Sakgi saya sampai"

Dengan ayat yang terakhir itu tadi maka Afams bergegas pulang ke rumah. Rancangannya untuk beli sarapan pagi ditunda bagi memberi laluan isu kecemasan ini. Setibanya di rumah, kunci kereta dan carriage dicapai. Tomtom dan Titam terkedu melihat mamanya cemas. Sebelum menutup pintu semula, Afams telahpun berpesan pada meraka yang mama mereka hendak selamatkan seekor kucing.

Setibanya di kawasan perumahan itu semula, Afams dapat lihat makcik itu sedang menunggu. Afams memperbetulkan carriage yang berada di dalam keretanya bagi memberi ruang jika kucing siam itu mahu duduk di belakang.

"Pasepa tak amik carriage tu? Baik buh dia dalam tu. Senang"

"Takpa kak. Kucing ni jinak. Nampak macam manja. Dia mesti tak lari kalau kena caranya".

Afams sememangnya tidak mahu meletakkan ia di dalam carriage. Cukuplah keperitan kucing itu yang terkurung sejak pagi tadi. Mungkin juga sejak semalam memandangkan semalam ia berada di bilik pengawal keselamatan.

Afams membuka pintu sangkar dengan lemah lembut sambil memberitahu kepada kucing itu bahawa semuanya ok dan tidak perlu takut. Afams terus peluk dan dukung kucing itu. Dibelai lembut untuk memberi mesej bahawa keadaan selamat. Kebetulan seorang runner lalu dan nampak Afams, makcik dan kucing itu. Dia seolah dapat merasakan sesuatu telah berlaku.

"What happened?" Tanya runner itu.

"The manaagement found her wandering here. Probably the owner doesn't know and isn't here. So i'm gonna look after her for awhile" balas Afams dengan satu nafas.

"Where did the owner go?"

"Probably balik kampung I guess"

"Dia ok noo. Tak attack orang" makcik tu pula bersuara.

Rupanya makcik itu tergamam melihat keadaan kucing itu. Dengan melihat situasi ini maka kuatlah point Afams tadi bahawa kucing ini manja dan mesra manusia. Afams mengambil kesempatan untuk menanyakan jika mereka turut tangkap Gebu dan Makyong.

Deskripsi Gebu mudah. Kelabu, gemuk, bulat dan gebu. Kemudian deskripsi kedua pula di mana sedikit sukar untuk Afams jelaskan deskripsinya. Deskripsi kedua adalah deskripsi Makyong. Celoreng hitam kelabu dan selalu berkepit dengan kucing deskripsi pertama tadi. Makcik itu diam dan berfikir sejenak.

"Ada la kami tangkap dua minggu lalu kucing gemok, bulat dan kelabu. Kucing tu garang. Ganaih. Dia siap attack dan gigit staf Bangla kami".

"Jantan ka?" Tanya Afams berdebar takut kucing yang dikatakan itu adalah Gebu. Dan tiada perkataan gebu semasa makcik itu mendeskripsikan kucing yang ditangkap dua minggu lalu.

"Ohh tak. Kucing tu betina".

Lega dan syukur. Afams lega dan syukur kerana sememangnya bukan Gebu. Hanya Makyong sahaja gagal untuk dipastikan sama ada telah ditangkap atau tidak.

Maka, setelah usai dan tiba di rumah, Afams memulakan proses pencarian tuan kepada kucing siam itu. Afams mula mewar-warkan di media sosial. Poster yang berserta deskripsi dan gambar kucing itu turut dibuat. Poster tersebut akan dicetak dan dilaminatekan esok. Dan esoknya juga Afams akan ke pejabat pengurusan perumahan itu semula untuk memohon kebenaran dalam menyebarkan poster ini dan menampal poster ini di pintu pagar keluar masuk kawasan perumahan situ.

Dan malam ini. Afams tidak dapat tidur lena. Masih terngiang-nging insiden pagi tadi. Ianya satu trauma untuk Afams sebenarnya.

Afams ada merancang untuk bawa Momoi, Chomel, Tomtom dan Titam berjalan-jalan di kawasan belakang itu. Cuma dia belum pasti sama ada dia hendak bawa mereka dengan konsep two by two (yakni bawa Tomtom dan Titam jalan dulu kemudian Momoi dan Chomel) atau four in one (yakni Tomtom dan Titam di dalam stroller manakala Momoi dan Chomel berjalan seperti biasa sekaligus). Dengan terjadinya insiden pagi tadi menjadikan Afams:

1. Khuatir anak-anak bulu ini menjadi sasaran mereka yang mahukan reward RM300 itu lalu memasang niat untuk culik anak-anak bulu ini. Manusia yang tamak dengan wang sanggup melakukan apa sahaja.

2. Afams berseorangan ketika membawa anak-anak bulu ini berjalan-jalan. Khuatir Afams terlepas pandang mereka dan khuatir jika mereka melompat masuk ke kawasan rumah jiran. Lagi risau jika jiran itu adalah seorang yang kuat mengadu dan akan mengadu kepada pihak pengurusan mengenai anak-anak bulu ini.

3. Paranoid dengan memastikan berkali-kali bahawa tiada escape route atau lubang untuk Momoi dan Chomel lolos. Momoi dan Chomel pernah berjaya meloloskan diri. Disebabkan itulah Afams begitu serius dengan menjadi seorang extra careful dan cautious. Pendek kata paranoid.

Moga kucing siam ini ditemukan kembali dengan tuannya.

Moga kucing siam ini dapat pulang semula ke rumahnya.

Moga tiada lagi tangkapan terhadap binatang-binatang berkeliaran terutamanya yang bertuan.

Moga dilembutkan hati penduduk dan staf pengurusan perumahan di situ untuk mengasihi dan menyayangi binatang.

Moga Momoi dan Chomel yang tinggal di situ selamat dan sentiasa dilindungi Allah.

Moga Tomtom dan Titam selamat dan sentiasa dilindungi Allah.

Moha semua binatang peliharaan selamat dan dilindungi Allah daripada perkara-perkara yang tidak diingini.

Ameeennnn .

Comments

Popular Posts