Afams vs Si Coklat Ep02
Afams vs Si Coklat Episod 02
Sambungan Ep01Fully charged. 4.30 pagi. 20 Januari 2014. 26 darjah celcius.
Hmmm...
Oklah, walaupun jawapan yang diharapkan itu kurang memuaskan. Masih ada masa lagi untuk tidur sebelum bangun bersiap ke kerja. Tuala kuning kusam dicapainya sekali. Tandas hanya sebelah biliknya sahaja. Dibuka pula lampu tandas. Afams tiba-tiba berhenti. Kaku. Matanya yang separa tutup kini terbeliak.
Leper, badan bercoklat hitam dan besar. Ia betul-betul di hadapan pintu tandas. Afams dan Si Coklat seolah-olah sedang berlawan mata. Masing-masing tidak membuat sebarang pergerakan. Otak Afams ligat berfikir. Matanya masih menumpu pada Si Coklat. Di dalam fikiran Afams, dia cuba mengingati setiap objek atau barang yang berdekatan untuk dirinya capai. Barang tersebut juga perlu kena pada spesifikasi yang telah dia tetapkan untuk membunuh Si Coklat. Dia kena fikir dan ingat posisi dan lokasi barang tersebut sebelum dia bergerak. Sesekali dia menjeling keadaan persekitarannya secara imbas. Dia tahu, jika dia mula bergerak, Si Coklat turut bergerak. Silap langkah, Si Coklat itu akan menyelinap ke arahya dan ini akan menyukarkan dirinya untuk menghentam Si Coklat itu. Tahu saja lah kepantasan Si Coklat itu.
Yang paling dekat hanyalah sebuah Quran besar dan tebal yang mempunyai penterjemahan dalam Bahasa Melayu. Kitab tersebut mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana ianya boleh digunakan dengan pen elektronik dimana ia disertakan audio bila pen tersebut menyentuh pada tulisan Arab dalam kitab tersebut.Trend kitab Quran zaman sekarang. Ianya terletak di atas almari, betul-betul belakang Afams. Tapi takkanlah dia nak hentam dengan kitab tersebut? Gila ke apa? OK tenang Afams, tenang. Fikir baik-baik.Walaupun hatinya berdebar-debar kerana dia tahu dia bakal berdepan dengan adegan suspen tetapi dia harus bertenang.
Afams melangkah setapak ke belakang dengan perlahan-lahan. Gerakan yang sangat perlahan. Lebih perlahan dari slow-motion scene filem. Dia menjeling ke kiri. Ada sesuatu berdekatan dengan kitab tersebut. Yes! Mangkuk besi! Senjata yang sesuai untuk membunuh Si Coklat leper dan menggelikan.
Mangkuk besi itu asalnya berada di rak kabinet dapur bersama dengan kaum kerabat mangkuk dan kuali yang lain. Mangkuk tersebut digunakan untuk mengisi udang yang telah disiang, daging yang telah dicincang, ayam yang diperam dengan pelbagai rencah, tepung untuk diuli dan bermacam-macam lagi agenda persiapan memasak untuk memasak. Bagaimana mangkuk besi boleh berada di sini bersebelahan dengan Quran? Begini ceritanya...
Suatu hari, anak buah Afams yang baru sahaja berusia 2 tahun datang dari KL bersama keluarganya. Namanya Ahmad. Ahmad sangat gemar bermain dengan barang-barang dapur. Dia suka meniru aksi ibunya di dapur. Baginya barang-barang dapur itu ibarat barang mainannya. Setiap kali ada orang ke dapur, pasti dia akan ikut sekali ke dapur.
Maka mangkuk besi itulah dijadikan mainan Ahmad semasa berada di rumah Afams. Rumah Afams adalah sebuah rumah zaman 90-an yang ringkas. Barang tidak banyak namun masih tampak gah hasil rekabentuk barang-barang rumah bertaraf pekerja makan gaji. Maaflah, di Pulau Pinang masih belum lagi terbina IKEA pada waktu itu. Semua barang dibeli dari kedai biasa-biasa sahaja. Oleh kerana rumah Afams tiada alat mainan, maka mangkuk itulah yang menjadi alat mainan untuk Ahmad. Jika diambil mangkuk itu, Ahmad akan meraung bebal. Direbutnya jika kita cuba mengambil mangkuk tersebut. Ahmad akan mengusung mangkuk tersebut ke mana sahaja dia pergi.Dari bilik mandi sehinggalah ke tempat tidur. Mangkuk itu akhirnya berada di atas almari bersebelahan dengan Quran. Mungkin ibunya yang meletakkan mangkuk itu di situ sebelum mereka pulang ke KL semula.
Demikianlah kisah mengenai kewujudan mangkuk besi di situ. Afams kini berhampiran dengan almari tersebut. Sekali lagi matanya menjeling ke arah mangkuk itu. Kemudian beralih ke arah Si Coklat. Si Coklat masih lagi di situ. Ia tidak berganjak tapi Afams pasti Si Coklat itu tengah dalam keadaan bersiap sedia untuk bertindak.
Belum cecah satu saat, tangan kiri Afams segera mencapai mangkuk tersbut dan terus mara ke depan. Si Coklat turut tidak ketinggalan. Ia membuka langkah dengan mengelak daripada mangkuk besi itu dari melenyeknya. Dalam masa yang sama ia mara ke arah Afams. Afams segera berundur selangkah ke belakang. Mujur langkahnya besar menyebabkan jarak untuk Si Coklat mara ke arah Afams sedikit jauh.
Sekali lagi Afams cuba menghentam Si Coklat. Si Coklat mengelak. Afams cuba lagi dan sekali lagi gagal. "Ketung!!" bunyi hentaman mangkuk besi itu tetapi masih belum kena sasarannya. Si Coklat semenangya pendekar handalan dalam jurus mengelak dan menyelinap.
"Ketung! Ketung! Ketung!"
Afams tidak putus asa. Matanya masih lagi terkunci pada Si Coklat. Afams harus fokus. Dia tidak mahu lagi gagal. Dia mesti bunuh Si Coklat. Jika dia tidak berjaya, pasti tidurnya akan terganggu kerana khuatir Si Coklat menyelinap memasuki biliknya yang hanya bersebelahan dengan tandas. 'Aku mesti bunuh dia! Mesti!' jerit hati Afams.
Si Coklat tiba-tiba membuat U-turn, satu langkah yang tidak disangka oleh Afams. Si Coklat terus menyelinap ke arah tong sampah yang sememangnya diletak berdekatan dengan tandas. Keadaan tong sampah itu gelap, sukar untuk Afams mencari Si Coklat. Suasana suspen kini bertukar sunyi.
"Celaka punya lipas!" dengus Afams perlahan. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia pasti Si Coklat itu sedang bersembunyi di tong sampah buat seketika. Tiada ruang untuk Si Coklat bersembunyi melainkan tong sampah. Afams yakin Si Coklat tidak mampu ke mana-mana. Lantas Afams mengambil peluang untuk melihat persekitaran. Setelah puas melihat keadaan sekeliling, Afams turun ke tingkat bawah. Kemudian dia kembali semula ke tingkat atas. Tangannya kini ada alat penyembur racun serangga.
Kali ini juga Si Coklat tidak akan terlepas. Afams kini mempunyai dua senjata untuk membunuh si Coklat. Di tangan kirinya mangkuk besi manakala di tangan kanannya alat penyembur racun serangga. Afams menghampiri tong sampah sambil mengoncangkan penyembur tersebut. Setelah beberapa goncangan, Afams terus lancarkan serangan.
'Psstttttttttttttt"
Seraya kepulan asap kelabu kecil mula menyelubungi tong sampah.Afams tersenyum sinis. Kali ini dia yakin Si Coklat akan lemas buat seketika. Dia yakin Si Coklat akan keluar dari kawasan tong sampah dek tidak tahan dengan kepulan asap kelabu tersebut. Dia juga yakin kali ini dia dapat menghentam Si Coklat dengan mangkuk besi ketika si Coklat yang dalam keadaan mabuk keluar dari kawasan tong sampah itu. Dia yakin kali ini dia berjaya.
Untuk beberapa saat seketika, Afams bangga dan yakin dia bakal memperoleh kemenangannya berperang dengan Si Coklat. Afams melangkah mendekati tong sampah. Dia harus mencari jasad Si Coklat yang mungkin sekarang sedang bertarung nyawa. Afams sebolehnya mahu menyegerakan kematian Si Coklat supaya Si Coklat tidak terseksa.
Afams menghulur tangan ke hadapan untuk mencapai tong sampah tersebut. Belum sempat tong sampah itu dicapai dan diangkat, Afams tersentak. Senyumnya yang sinis bangga tadi bertukar gerun. Mata Afams kembali terbeliak. Dada Afams yang tadinya tenang kembali berombak.
"Permainan apakah ini?!"
bersambung...
END of Episode 02

Comments
Post a Comment