Afams vs Si Coklat Ep01

Afams vs Si Coklat Episod 01


Di suatu malam yang hening dek angin air-cond dihala betul-betul ke arah katil, Afams yang sedang dibuai mimpi pelik yang sudah pastinya tidak ingat apa yang dimimpikan itu kelihatan resah. Mukanya berkerut seperti berfikir. Deep thinking? Mungkin. Pastinya dia sedang berfikir walaupun pada yang sama dia sedang bermimpi.

Setelah separa sedar yang dia sedang memusing badannya ke kiri dan ke kanan, memenuhi ruang katil super single-nya, akhirnya dia membuka mata. Dia hanya membuka mata separuh kerana dia sememangnya mahu tidur. Tidak lama lagi Isnin bakal menjelma. Adalah satu kerugian jika masa ini tidak digunakan untuk tidur kerana sebentar sahaja lagi dia terpaksa bangun untuk bersiap ke kerja. Dia tidak mahu terjebak dengan wabak Monday Blues.

Di dalam keadaan separa sedar, dia mengagak waktu sekarang. Dia sebenarnya tidak tahu pukul berapa. Hendak melihat jam, dia tidak pernah memakai jam tangan ketika tidur. Jam dinding di bilik pula telah lama meninggal dunia akibat kehabisan bateri yang belum lagi diganti baru. Telefon bimbitnya jauh dari katil yang sedang dicas di satu sudut. Jadi dia mengagak waktunya mungkin di antara pukul 3 atau 4 pagi. Dia berharap sangat kerana jika waktu mencecah pukul 5 lebih pastinya masa untuk tidur kembali adalah singkat. Bayangkan jika waktu sekarang pukul 5.30 pagi. Alarm pula dikunci pada 6.10 pagi. Dia hanya ada 40 minit sahaja untuk sambung tidur. Dan untuk sambung tidur dalam keadaan separa sedar dan letih (akibat deep thinking dalam mimpi) sudah pastinya akan mengambil masa. Jika masa tersebut digunakan selama 10 minit, dia hanya ada setengah jam sahaja lagi. Dan kebiasaannya dia tidak terus bangun jika alarmnya berbunyi. Dia akan menunggu azan Subuh yang kedua sebagai alarm snooze yang terakhir sebelum dia bangun. Waktu antara bunyi alarm dan juga azan Subuh sekejap sahaja dan tidak mampu untuk menebus 10 minit yang dibazirkan tadi. Ditambahnya pada ketika ini waktu Subuh masuk awal. Huh, nampak tak seksaan untuk bangun tidur terutamanya ketika minggu kerja? Oleh sebab itulah dia mengharapkan agar waktu sekarang adalah di antara pukul 3 atau 4 pagi. Ingat, masa itu emas.

Dalam keadaan cuba untuk tidur semula, telinga kanan Afams tiba-tiba gatal. Seperti ada sesuatu di dalam telinga. Terus dia mengorek telinga kanannya. Barangkali helaian rambutnya yang pendek menggelikan telinganya. Selalu jadi begitu. Tak rambut, barangkali desingan bunyi nyamuk yang cukup menjengkelkan. Tapi gatal telinga kali ini lain. Tangannya lebih lama berada di bahagian telinga. Jarinya tak henti-henti mengorek lubang telinga. Gatalnya semacam. Ada serangga masuk dalam telinga kah?

Seraya dia teringatkan satu artikel yang pernah dia baca dalam Yahoo news suatu ketika dahulu. Seorang mat saleh telah dibawa ke hospital kerana telinganya yang gatal dan sakit yang amat. Seperti Afams juga, si mat saleh itu mengorek telinga kerana gatal. Tapi ketika si mat saleh ini cuba mengorek, dia terasa seperti ada sesautu bergerak di dalam telinganya. Dijolok-jolok sehingga terkeluar bendelir yang aneh. Disebabkan cuak dan mula terasa sakit yang amat, si mat saleh itu terus ke hospital. Rupa-rupanya seekor lipas telah memasuki telinganya. Menurut kata doktor yang merawat mat saleh tersebut, kes ini merupakan kes yang paling pelik dan serangga paling besar yang pernah memasuki telinga manusia.

Afams cukup geli dengan lipas. Baginya lipas adalah seekor serangga yang pelik. Lipas adalah serangga yang satu-satunya akan datang ke arah pihak lawan jika ia ketakutan. Pelik kan? Biasanya binatang akan lari dari pihak lawan. Manusia pun akan lari jika berhadapan dengan benda yang dia takut. Lain pula dengan lipas. Ia tidak lari jauh sebaliknya datang mendekati dengan pemangsa. Datang dengan cepat pula tu. Rupanya yang leper dan bercoklat hitam menambahkan lagi kegelian pada mata yang memandang. Baunya pun sungguh tidak enak. Busuk. Lagi busuk jika bendalir dari badannya keluar.

Lipas. Atau lebih sedap dipanggil Si Coklat.

Walaupun Afams geli dengan lipas, dia tidak takut untuk membunuhnya. Cara dia membunuh Si Coklat ialah dengan menghentamkan ia menggunakan buku, cebok, bekas sabun atau sebarang benda yang mempunyai permukaan rata dan keras di bahagian bawah. Kebarangkalian ia mati on the spot adalah tinggi kerana dapat meleperkan Si Coklat yang sememangnya leper. Lagi bagus jika isi dalam Si Coklat tu keluar terburai. Puas. Puas bukan sebab ghairah membunuh tetapi puas kerana yakin bahawa sememangnya Si Coklat tu sah-sah dah mati. Kalau guna spray racun serangga, Si Coklat akan mengambil masa untuk mati. Tergedik-gedik kakinya setelah ia terbaring. Bukankah kaedah ini dianggap menyeksa binatang? Kalau guna spray, sudah pastinya peluang Si Coklat untuk hidup masih ada. Mana tahu di tempatnya ada tok dukun yang dapat menyembuhkannya? Eh.

Bila teringatkan kisah artikel tersebut, Afams sedikit gementar. Dia bergegas bangun dari katil. Dia bercadang hendak menuang sedikit air ke dalam rongga telinganya. Teknik ini adalah cara yang sebenar jika terdapat sebarang benda yang tersumbat di dalam telinga manakala teknik mengorek telinga adalah salah. Teknik mengorek ini boleh menyebabkan Membran Tempani atau gegendang telinga anda luka jika dikorek dalam. Lebih parah jika ianya pecah menyebabkan manusia akan menjadi pekak. Oleh itu, cara terbaik ialah dengan menggunakan teknik menuang air sedikit ke dalam lubang telinga. Air tidak perlu banyak, hanya sekadar setitik dua. Setelah air dititiskan ke dalam telinga, anda tunggu air itu mengalir perlahan melalui saluran telinga luar. Sebaik sahaja anda terdengar (ataupun mungkin terasa) seperti bunyi 'tudd','pudd','tuff' atau sewaktu dengannya, anda seharusnya mengalihkan kepala anda dengan segera agar air di dalam telinga tadi mengalir keluar. Anda akan rasa cecair yang mengalir itu sedikit suam. Air tersebut keluar bersama dengan barang yang tersangkut di dalam telinga tadi. Anda harus mencuba beberapa kali jika cubaan pertama gagal. Kaedah ini mengambil masa sedikit. Walaubagaimanapun, teknik ini juga berkesan dalam membuang udara atau air yang terperangkap dalam telinga terutamanya selepas berenang. Tak percaya? Anda boleh cuba.

Afams terus membuka lampu biliknya. Sebelum ke tandas, beliau ingin memastikan waktu. Dia berharap agakan waktu yang diagak tadi sama dengan waktu sebenar. Telefon bimbit dicapai.
 
Fully charged. 4.30 pagi. 20 Januari 2014. 26 darjah celcius.

Hmmm...

Oklah, walaupun jawapan yang diharapkan itu kurang memuaskan. Masih ada masa lagi untuk tidur sebelum bangun bersiap ke kerja. Tuala kuning kusam dicapainya sekali. Tandas hanya sebelah biliknya sahaja. Dibuka pula lampu tandas. Afams tiba-tiba berhenti. Kaku. Matanya yang separa tutup kini terbeliak.

bersambung...

END of Episode 01

Comments

Popular Posts